Alumni Pertanian 1978 Yakin Boleh Menyumbang Kepada UPM | SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
» NEWS » Alumni Pertanian 1978 yakin boleh menyumbang kepada UPM

Alumni Pertanian 1978 yakin boleh menyumbang kepada UPM

By Khairul Anuar Muhamad Noh
Photo by Marina Ismail



SERDANG, 16 Jan – Alumni Graduan Diploma Pertanian Kelas 1978 Universiti Pertanian Malaysia diyakini dapat menyumbang kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bentuk material, kepakaran dan kebolehpasaran graduan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata pelbagai mekanisme  sumbangan dikenalpasti boleh diberikan oleh alumni berkenaan seperti tajaan geran penyelidikan dan Kursi Profesor, biasiswa staf seliaan untuk melanjutkan pengajian di UPM dan sumbangan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Alumni 1978 terbukti banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Mereka boleh membantu pelajar dan graduan UPM mendapatkan latihan amali dan kepakaran dalam meningkatkan kebolehpasaran mereka.




“Selain itu, kejayaan sesebuah universiti turut dimainkan oleh peranan alumni yang terdiri daripada ahli korporat, usahawan, penjawat awam dan sebagainya,” katanya selaku jurucakap kumpulan Alumni Graduan Diploma Pertanian Kelas 1978 Universiti Pertanian Malaysia yang mengadakan Majlis Merapatkan Silaturrahim di L’Apprenti @ Kelab Golf UPM baru-baru ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Naib Canselor UPM,   Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris turut dihadiri oleh alumni UPM seperti Presiden Persatuan Alumni, Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, mantan Timbalan Naib Canselor dan Ahli Lembaga Pengarah UPM, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd. Noor Ismail.

“Bayangkan ini adalah pertemuan pertama selapas kami tidak bertemu selama 38 tahun sejak 1978. Pasti ramai yang teruja bertemu rakan lama dari pelbagai pelosok jauh untuk bertanya khabar dan berbual panjang. Malah ada antaranya sukar dikenali dan mengambil masa beberapa saat untuk mengingati semula.



“Majlis ini juga berusaha memberi kesedaran alumni tentang peranan Persatuan Alumni terutama dalam mengemaskini data mereka,” kata Prof. Datuk Dr. Mad Nasir.

Katanya pertemuan idea rasmi itu bertolak daripada hasrat beberapa rakan lama yang masih berhubung untuk mengumpulkan kesemua Alumni Graduan Diploma Pertanian Kelas 1978.

Beliau berpuas hati kehadiran seramai 103 alumni merupakan jumlah yang amat menggalakkan berbanding 293 alumni sebenar yang ada dan sudah pasti pertemuan selanjutnya akan dibuat lagi.

Pada majlis itu, kumpulan Diploma Pertanian (DPA) 26 dan 27 yang terdiri daripada 40 kumpulan menerima hadiah selaku ahli teramai yang menghadiri majlis tersebut. Prof. Datuk Dr. Mad Nasir sendiri ialah pelajar daripada DPA 26.




Sementara itu, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris dalam ucapan perasmiannya berharap alumni 1978 menyumbang bakti kepada universiti dengan melestarikan jalinan yang lebih efektif kerana kebanyakan mereka memegang pelbagai jawatan berprestij dalam sektor kerajaan, awam dan persendirian.

“Saya mengucapkan syabas kepada alumni UPM yang cemerlang dan menyumbang bakti kepada negara dan berjaya di peringkat antarabangsa. Diharapkan mereka turut menyumbang semula kepada Universiti dalam bentuk material, kepakaran dan latihan,” katanya.


Updated:: [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389464225
0389464232
C1506332321