Money Boy Serius, Mesti Ditangani Segera:Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar | SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
» NEWS » Money Boy serius, mesti ditangani segera:Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar

Money Boy serius, mesti ditangani segera:Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar

Oleh Azman Zakaria
Photos by Noor Azreen Awang


SERDANG , 8 Mei (UPM) – Masalah sosial yang baharu – Money Boy – kian menular dan semakin serius di kalangan Generasi Y, yang memerlukan setiap anggota masyarakat terutama ibu bapa mengamalkan sikap mengambil tahu aktiviti remaja.

Penyelidik sosial, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata meskipun kegiatan Money Boy sukar dikesan kerana bergerak di belakang tabir yang menyebabkan masyarakat tidak menyedarinya, namun usaha membanterasnya perlu diperhebatkan.

“Kita bimbang ia akan menjadi lebih serius ke tahap sukar dikawal seperti kes mat rempit dan dadah.



“Harap lebih banyak pembongkaran mengenai kegiatan Money Boy ini didedahkan supaya masyarkat lebih berhati-hati. Rondaan pada waktu malam perlu dilakukan oleh pihak berkuasa di tempat-tempat yang dipercayai menjadi pusat kegiatan ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Syarahan Inaugural di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Money Boy adalah golongan lelaki berumur antara 15 hingga 30 tahun yang menawarkan pelbagai perkhidmatan terutamanya seks kepada pelanggan lelaki  untuk mendapatkan wang tambahan atau imbuhan, yang didorong oleh kesempitan hidup, nafsu dan keinginan untuk hidup mewah seperti rakan-rakan lain.

“Tahap sekarang ini ialah peringkat orang tak kisah mengenai kegiatan ini. Mengikut teori, jika kita tidak melakukan apa-apa sekarang, ia akan menjadi serius dan pada ketika itu keadaan sudah terlewat.

“Walaupun ia bukan seperti masalah dadah, tetapi kesannya sangat besar. Pada peringkat sekarang ini, pencegahan sangat penting,” katanya.



Ketika menyampaikan Syarahan Inaugural itu, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar, yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, berkata untuk mengetahui kegiatan itu  dan latar belakang mereka yang terbabit, beliau menjalankan kajian selama dua tahun bermula awal tahun 2010 di sekitar Lembah Klang membabitkan 30 orang Money Boy sebagai responden.

Menurutnya, remaja yang terbabit dalam kegiatan Money Boy menerima bayaran sehingga RM5,000 sebulan tidak termasuk pelbagai hadiah seperti kereta, telefon bimbit serta percutian dalam dan luar negara.

Berdasarkan kepada laporan yang diperoleh daripada temu bual dengan Money Boy , secara purata setiap mereka memperoleh pendapatan di antara RM200 dan RM300 untuk setiap perkhidmatan yang diberikan. Namun ada yang memperoleh bayaran mencecah ribuan ringgit untuk satu malam.

Majoriti golongan yang mendapatkan khidmat Money Boy adalah lelaki dalam lingkungan umur 40-an dan 50-an yang mempunyai pendapatan tinggi.

Money Boy mempunyai rupa paras dan bentuk badan yang menarik, pandai berkomunikasi dan bercirikan metroseksual.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar berkata, antara medium yang digunakan untuk mendapatkan pelanggan adalah melalui iklan di media massa serta melalui kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti facebook, twitter, blog dan laman web. 

Menurutnya, antara lokasi di Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan Money Boy menjalankan aktivit mencari pelanggan ialah sekitar Tasik Permaisuri Cheras, bahagian belakang bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Jurasic Park Kuala Lumpur, Kolam Renang Tun Abdul Razak Cheras dan sekitar bangunan Kota Raya.  - ends


Date of Input: | Updated: | amir_peli

MEDIA SHARING

SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXDcVAy~