Pasukan Sepak Takraw UPM Tewaskan Pasukan Kebangsaan Jerman | SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
» NEWS » Pasukan sepak takraw UPM tewaskan pasukan kebangsaan Jerman

Pasukan sepak takraw UPM tewaskan pasukan kebangsaan Jerman


HAMBURG, 7 Jun (UPM) – Pasukan sepak takraw Universiti Putra Malaysia (UPM) mengungguli Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa Piala Dragon, di Hamburg, Jerman baru-baru ini dengan menewaskan pasukan kebangsaan Jerman.

Kejohanan yang dianjurkan Persatuan Sepak Takraw Jerman itu disertai 24 pasukan yang terdiri daripada pasukan kebangsaan dan kelab sepak takraw dari benua Eropah seperti Jerman, Perancis, Switzerland, Belgium dan Austria.

Pasukan UPM menjuarai kejohanan dengan memenangi kedua-dua kategori iaitu acara regu dan double dengan masing-masing menewaskan pasukan kebangsaan Jerman pada perlawanan akhir.

Penyertaan pasukan sepak takraw UPM dalam kejohanan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena penyertaan Pusat Sukan UPM dalam program mobiliti di Hamburg, Jerman dari 29 Mei hingga 7 Jun lalu. Program mobiliti itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Jerman dan Konsulat Malaysia.



Delegasi UPM terdiri daripada lima peserta diketuai oleh Ketua Pusat Sukan, Dr. Hanafiah  Ayub dan Pegawai Belia dan Sukan Pusat Sukan UPM, Encik Mohamad Razizi Midin, serta tiga pelajar dari Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pendidikan yang merupakan atlet Sepak Takraw UPM.

Sesi asas kejurulatihan sepak takraw bersama pasukan kebangsaan Jerman  turut diadakan selama dua hari.

Selain itu, program yang diatur termasuk program komuniti bersama masyarakat Jerman melalui penganjuran klinik sepak takraw melibatkan 300 pelajar di tiga buah sekolah.

Melalui program mobiliti itu juga, satu lawatan dan diskusi pengantarabangsaan pelajar diadakan bersama Prof. Dr. Jan Van Der Putten dari Fakulti Kemanusiaan, Universiti Hamburg.

Antara topik perbincangan adalah berkenaan pertukaran pelajar dalam pelbagai program seperti sukan, budaya, bahasa dan akademik.

Delegasi UPM turut mengadakan lawatan ke Konsulat Malaysia dan pejabat Datuk Bandar Elmshorn, Hamburg.

 

 


Date of Input: | Updated: | amir_peli

MEDIA SHARING

SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXDdVA3~