UPM LANCAR 9 TEKNOLOGI PADI DI BESUT HASIL SKIM LRGS | SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
» NEWS » UPM LANCAR 9 TEKNOLOGI PADI DI BESUT HASIL SKIM LRGS

UPM LANCAR 9 TEKNOLOGI PADI DI BESUT HASIL SKIM LRGS

By Khairul Anuar Muhamad Noh
Photo by Noor Azreen Awang


SERDANG, 31 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) mempamerkan sembilan inovasi hasil penemuan penyelidikan untuk digunapakai oleh komuniti petani hasil daripada Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang/Long Term Research Grant Scheme (LRGS) bagi bidang keutamaan Sekuriti Makanan (Food Security).

Geran LRGS yang diberi oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak tahun 2011 bernilai RM10 juta kepada UPM dalam aspek Jaminan Makanan Padi Negara membolehkan hasil penyelidikan dan teknologi UPM menyumbang untuk komuniti petani dan pemegang taruh (stakeholders) untuk menjamin kecukupan industri padi dan beras negara.

Ketua Program LRGS jaminan makanan–tanaman padi UPM, Prof. Dr. Mohd  Razi Ismail berkata geran itu meningkatkan pembinaan kapasiti sumber manusia dengan  mewujudkan peluang pengajian Master dan PhD, menghasilkan kertas kerja ilmiah penerbitan jurnal terkemuka dunia dalam sains tanaman padi dan penghasilan produk yang boleh meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah.

“Program ini telah berjaya melatih lima pelajar siswazah yang kini sedang berkhidmat sebagai pensyarah di pusat pengajian tinggi awam di samping tiga pelajar sisiwazah dari dalam negara dan 16 luar negara yang telah menamatkan pengajian PhD dalam bidang sains tanaman padi.

“Secara keseluruhannya Prof Razi berkata program itu telah memberi menfaat kepada 96 orang pelajar siswazah yang sedang dan telah  menjalankan penyelidikan mereka dalam sains tanaman padi dan juga berkaitan dengan kajian sosioekonomi  bagi eko-sistem tanaman padi,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Teknologi Padi Universiti Putra Malaysia@Besut 2016 yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh pada 30 Oktober lalu di Masjid Kampung Lubuk Kawah, Jerteh, Besut, Terengganu.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila dan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Badrul Hisham Mohd.

Prof Razi berkata sehingga kini program penyelidikan ini telah menghasilkan lebih dari 150 penulisan ilmiah yang diterbitkan dalam jurnal bersitasi dan hampir 30% penerbitan adalah dalam jurnal terkemuka dalam Quartile 1 dan 2.

 "Bagi penghasilan Intectual Property, program ini berjaya menghasilkan lima paten dan beberapa paten dan produk untuk pengkomersilan dijangka dapat dihasilkan dalam  tempoh yang terdekat.

 “Untuk merapatkan jurang penemuan hasil penyelidikan di antara makmal dan pesawah di lapangan, satu pendekatan yang dikenali sebagai  Farmers Participatory Research atau Penyelidikan Penyertaaan Petani digunakan bagi memastikan teknologi tersebut dapat dimanfaatkan oleh petani dengan berkesan,” katanya.

 Menurut Prof Razi dengan memastikan pesawah sebagai entry point,  penyelidikan tidak hanya tertumpu di rumah tanaman  atau di tapak penyelidikan terkawal.

“Program ini telah melibatkan lebih dari 30 orang petani dengan keluasan petak penyelidikan 229 ekar di jelapang utama negara dengan kerjasama agensi  pembangunan padi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi melihat keberkesanan teknologi memberi menfaat kepada petani secara langsung. 

 “Teknologi yang diperolehi dibuat perbandingan dengan amalan kebiasaaan pesawah dan memperincikan ekonomi ladang bagi memastikan teknologi memberi pulangan yang maksimum kepada petani. Program ini juga memberi tumpuan kepada pembaikan tanaman melalui penyelidikan ke arah penghasilan varieti padi,” katanya.

 



Prof Razi menerangkan di Malaysia, kadar penghasilan varieti padi baru adalah rendah dan langkah mewujudkan konsortium bagi penghasilan varieti padi baru membolehkan penyelidik pembiakan tanaman padi dapat menghasilkan varieti padi baru pada kadar yang tinggi bagi membolehkan petani dapat membuat pilihan dan tidak bergantung kepada varieti  lama. 

“Bagi program ini, sehingga kini telah menghasilkan dua varieti baru yang berpotensi untuk dikemukakan kepada petani iaitu varieti padi tahan penyakit karah dan keberhasilan tinggi dan juga varieti yang rintang submergen dalam beberapa tempoh yang tertentu . 

“Penyelidikan bagi penghasilan varieti padi akan seterusnya dijalankan oleh penyelidik di  Institut  Pertanian Tropika UPM dan  Fakulti Pertanian UPM bagi mendapatkan varieti padi yang boleh mengadaptasikan kepada perubahan iklim.

 “Program penyelidikan bagi LRGS akan tamat pada tahun ini dan penyelidik di UPM akan mendapatkan dana penyelidikan melalui inisiatif yang ada di dalam negara dan luar negara bagi tujuan penyelidikan padi,” katanya.

 Menurut Prof Razi lagi beberapa langkah kehadapan untuk memastikan  jaminan makanan negara khususnya  bagi padi dan beras dapat ditingkatkan lagi telah digariskan dengan pembentukan roadmap penyelidikan padi bagi membolehkan penyelidikan dan pembangunan padi negara lebih terarah dan mencapai sasaran kerajaan.

 


Date of Input: | Updated: | amir_peli

MEDIA SHARING

SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXETRAC~