
1 Oktober 2025 - Sekolah Pengajian Siswazah telah menganjurkan Kursus Pembuatan Lilin Daripada Minyak Masak Terpakai sebagai salah satu inisiatif memperkasa amalan kelestarian hijau dan kesedaran pengurusan sisa dalam kalangan warga kerja institusi. Kursus ini telah berlangsung pada 1 Oktober 2025 (Rabu) bertempat di Lobi, Sekolah Pengajian Siswazah dari 9.00 pagi hingga 12.15 tengah hari, dengan penyertaan seramai 39 orang staf Sekolah Pengajian Siswazah. Penganjuran kursus ini bertujuan menyokong usaha kelestarian alam sekitar melalui amalan kitar semula sisa minyak masak terpakai, di samping memupuk kesedaran terhadap pengurusan sisa yang lebih sistematik dan bertanggungjawab. Selain itu, kursus ini turut memberi pendedahan kepada konsep keusahawanan hijau serta membantu meningkatkan kemahiran insaniah dalam kalangan peserta.


Kursus ini telah dikendalikan oleh Puan Hairunnisak Jalil, Pegawai Pertanian dari Seksyen Pengembangan Ternakan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC). Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada beberapa pengisian utama termasuk pengenalan kepada minyak masak terpakai dan kesannya terhadap alam sekitar, diikuti dengan demonstrasi pembuatan lilin, serta sesi amali yang memberi peluang kepada peserta menghasilkan lilin secara langsung menggunakan bahan kitar semula. Melalui pendekatan pembelajaran secara teori dan praktikal, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu berkaitan pengurusan sisa minyak masak, malah berjaya menguasai kemahiran menghasilkan lilin yang berpotensi digunakan dalam kehidupan seharian. Hasil pembelajaran ini turut membuka peluang kepada peserta untuk meneroka potensi keusahawanan, khususnya dalam penghasilan produk mesra alam yang bernilai komersial.
Pihak penganjur berharap agar penganjuran kursus seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pendidikan tidak formal yang berimpak tinggi, selari dengan agenda universiti dalam memperkukuh budaya lestari, mempromosikan amalan hijau, serta menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar dan komuniti.
Tarikh Input: 01/10/2025 | Kemaskini: 22/01/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services