Kursus Pembuatan Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai Sokong Agenda Kelestarian Hijau | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Kursus Pembuatan Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai Sokong Agenda Kelestarian Hijau

Kursus Pembuatan Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai Sokong Agenda Kelestarian Hijau

29 Ogos 2025 – Sekolah Pengajian Siswazah telah menganjurkan Kursus Pembuatan Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai sebagai salah satu inisiatif kelestarian hijau yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, amalan kitar semula sisa serta pengurusan sisa secara berkesan dalam kalangan warga kerja. Kursus yang berlangsung pada Jumaat, 29 Ogos 2025, dari jam 9.00 pagi hingga 12.15 tengah hari itu telah diadakan di Bilik Putra Sarjana, Sekolah Pengajian Siswazah dan disertai oleh seramai 34 orang staf. Program ini dianjurkan khusus untuk semua staf Sekolah Pengajian Siswazah sebagai usaha menyemai budaya lestari di tempat kerja serta memperkukuh kemahiran insaniah.

  

  

Kursus ini telah dikendalikan oleh Puan Hairunnisak Jalil, Pegawai Pertanian dari Seksyen Pengembangan Ternakan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC). Pengisian kursus dimulakan dengan taklimat teori yang memberi pendedahan mengenai kesan pembuangan minyak masak terpakai terhadap alam sekitar, diikuti demonstrasi pembuatan sabun secara terperinci. Selain itu, peserta turut terlibat dalam aktiviti amali yang merangkumi proses pembuatan sabun serta penerapan teknik keselamatan dan kaedah penyimpanan yang betul. Pendekatan pembelajaran secara praktikal ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami keseluruhan proses kitar semula minyak masak terpakai secara lebih berkesan.

Hasil daripada kursus ini, selain pengisian teori, peserta turut menjalani aktiviti amali yang merangkumi keseluruhan proses pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta, malah menggalakkan penghayatan terhadap kepentingan pengurusan sisa secara lestari. Penganjuran kursus ini diharap dapat menyokong agenda kelestarian universiti serta menggalakkan amalan lestari yang berterusan dalam kehidupan seharian dan persekitaran kerja.

Tarikh Input: 02/09/2025 | Kemaskini: 22/01/2026 | aslamiah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
X, (02:58:23pm-03:03:23pm, 14 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]