
Serdang, 31 Oktober 2025 — Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia, telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada delegasi akademik yang mewakili Dr. D. Y. Patil Institute of Engineering Management and Research dan Bharati Vidyapeeth’s Women’s College of Engineering, India. Lawatan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, Sekolah Pengajian Siswazah bermula pada jam 9.00 pagi ini bertujuan memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan pengajian siswazah dan pembangunan penyelidikan.
Delegasi telah diraikan oleh Prof. Dr. Rusmawati Said, Timbalan Dekan (Tesis dan Pembangunan Pelajar), serta Cik Pavithra Panir Selvam, Penolong Pendaftar, Unit Perhubungan Pelajar, Sekolah Pengajian Siswazah UPM. Sesi dimulakan dengan pembentangan yang memperkenalkan UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang menekankan kecemerlangan akademik, keupayaan penyelidikan berimpak tinggi serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi.


Pembentangan tersebut turut memberi gambaran menyeluruh mengenai struktur pengajian siswazah, proses penyeliaan penyelidikan, sistem sokongan pelajar antarabangsa serta inisiatif pembangunan pelajar yang dilaksanakan di UPM. Perkongsian ini membuka ruang perbincangan dua hala berkaitan peluang kerjasama akademik, mobiliti pelajar dan penyelidik, serta pengukuhan jaringan institusi di peringkat global.
Sepanjang sesi interaksi, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai cabaran semasa dalam pengurusan pengajian siswazah, strategi meningkatkan kebolehpasaran graduan, serta usaha memperkasa kualiti penyelidikan melalui kolaborasi strategik. Suasana perbincangan yang mesra dan profesional mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan pendidikan tinggi dan penyelidikan berimpak tinggi.

Program lawatan berakhir pada jam 11.00 pagi dengan sesi bergambar dan penyerahan cenderamata sebagai tanda penghargaan serta simbol hubungan kerjasama yang semakin erat. Lawatan ini membuktikan komitmen berterusan Sekolah Pengajian Siswazah UPM dalam memperluas jaringan antarabangsa dan memacu kecemerlangan akademik melalui kolaborasi strategik global.
Tarikh Input: 31/10/2025 | Kemaskini: 26/02/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services