
Serdang, 14 November 2025 — Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia, telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada delegasi Minnan University of Science and Technology (MNUST), China. Lawatan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, Sekolah Pengajian Siswazah bermula pada jam 9.00 pagi ini bertujuan memperkukuh hubungan akademik serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan pengajian siswazah dan pembangunan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
Delegasi MNUST telah diraikan oleh Prof. Dr. Rusmawati Said, Timbalan Dekan (Tesis dan Pembangunan Pelajar), serta Prof. Dr. Nitty Hirawaty Kamarulzaman, Timbalan Dekan (Pengambilan, Perhubungan Institusi dan Bantuan Kewangan), Sekolah Pengajian Siswazah UPM. Sesi dimulakan dengan pembentangan yang memperkenalkan UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang menekankan kecemerlangan akademik, keupayaan penyelidikan berimpak tinggi serta jaringan kolaborasi global.

Selain itu, wakil daripada Fakulti Sains dan Fakulti Sains Komputer UPM turut dijemput untuk menyampaikan perkongsian khusus mengenai kekuatan bidang, tumpuan penyelidikan, serta peluang kerjasama akademik dan mobiliti pelajar. Perkongsian ini memberikan gambaran menyeluruh kepada delegasi MNUST tentang ekosistem penyelidikan dan struktur pengajian siswazah di UPM.
Sepanjang sesi interaksi, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai strategi memperkukuh kebolehpasaran graduan, pemantauan kemajuan penyelidikan pelajar, serta inisiatif pengantarabangsaan pengajian siswazah. Perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra dan profesional ini membuka ruang kepada penerokaan potensi kolaborasi masa hadapan antara UPM dan MNUST.

Program lawatan berakhir pada jam 11.00 pagi dengan sesi bergambar dan penyerahan cenderamata sebagai simbol penghargaan serta tanda hubungan kerjasama yang semakin erat. Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Sekolah Pengajian Siswazah UPM dalam memperkukuh jaringan antarabangsa dan memacu kecemerlangan akademik melalui kolaborasi strategik di peringkat global.
Tarikh Input: 17/11/2025 | Kemaskini: 26/02/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services