
Dhaka, Bangladesh, 17 Julai 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) telah mengukuhkan hubungan akademik antarabangsa dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) bersama University Grants Commission (UGC) Bangladesh dalam satu lawatan rasmi ke Dhaka yang berlangsung dari 16 hingga 18 Julai 2025. Majlis menandatangani MoU tersebut diadakan pada 17 Julai 2025, disusuli sesi dialog dua hala yang memfokuskan peluang kerjasama strategik dalam pendidikan pascasiswazah dan penyelidikan rentas negara. Delegasi UPM diketuai oleh Prof. Dr. Rusmawati Said, Timbalan Dekan (Tesis dan Pembangunan Pelajar), dan Cik Nur Shazleen Ilyana Sharifuddin, Ketua Unit Pengambilan SPS.

Melalui pemeteraian ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam beberapa bidang utama, antaranya penawaran program pascasiswazah, penyeliaan bersama penyelidikan, pertukaran pelajar dan staf akademik, serta peluang penajaan dan biasiswa bagi pelajar antarabangsa. Salah satu hasil utama MoU ini ialah peluang kepada sejumlah staf UGC Bangladesh untuk melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah di UPM dengan tajaan sepenuhnya. Perkembangan ini dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa berkaliber tinggi serta mengukuhkan reputasi UPM sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf global.
Lawatan ini merupakan antara langkah strategik UPM dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan memperkenalkan UPM sebagai destinasi pilihan utama untuk pengajian siswazah di rantau Asia Selatan, khususnya di Bangladesh. Kerjasama ini turut diharap dapat memperkasakan penyelidikan rentas sempadan dan pembangunan modal insan melalui pelaksanaan program pascasiswazah yang berdaya saing dan bertaraf antarabangsa.
Tarikh Input: 24/07/2025 | Kemaskini: 24/07/2025 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services