Majlis Sekalung Budi & Simfoni Kegemilangan Sekolah Pengajian Siswazah 2025 | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Majlis Sekalung Budi & Simfoni Kegemilangan Sekolah Pengajian Siswazah 2025

Majlis Sekalung Budi & Simfoni Kegemilangan Sekolah Pengajian Siswazah 2025

Serdang, 19 Disember 2025 – Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Universiti Putra Malaysia terus menitikberatkan motivasi dan kebajikan staf sebagai pemacu utama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan Pusat Tanggungjawab (PTJ). Sehubungan itu, Majlis Sekalung Budi & Simfoni Kegemilangan Sekolah Pengajian Siswazah 2025 telah dianjurkan sebagai acara tahunan bagi menghargai komitmen berterusan warga SPS dalam pelbagai aspek perkhidmatan dan pencapaian organisasi.

Bertemakan Around The World, majlis yang berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya ini dikelolakan oleh Jawatankuasa Kelab SPS dengan kerjasama Pejabat Am Dekan. Persiapan rapi telah dilakukan selama dua minggu, merangkumi penyediaan dekorasi bertemakan global, proses pengundian serta pemilihan pemenang anugerah melalui kaedah audit yang telus dan sistematik. Majlis turut menjadi detik simbolik peralihan kepimpinan apabila Jawatankuasa Kelab SPS sesi 2023/2025 secara rasmi meletakkan jawatan, diikuti pengumuman pelantikan jawatankuasa baharu yang dipilih berdasarkan undian seluruh warga SPS. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kelab SPS 2023/2025, Cik Nur Nadjla Ahmad Razei, sebelum diteruskan dengan sesi jamuan dan aktiviti selingan yang menceriakan suasana serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan staf.

 

 

Selain meraikan pencapaian organisasi, majlis ini turut menjadi platform penghargaan kepada staf yang telah berpindah tugas, iaitu Puan Farah Hanani Roslan yang kini berkhidmat di Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir Akademik UPM serta Encik Muhammad Amirul Afif Sa’audi yang kini bertugas di Institut Penyelidikan Matematik UPM. Penghargaan ini mencerminkan penghormatan SPS terhadap sumbangan dan dedikasi mereka sepanjang tempoh perkhidmatan. Pelbagai anugerah turut disampaikan pada majlis tersebut, antaranya Anugerah SGS Virtual Fitness Challenge dan Anugerah Pertandingan The Great Outdoor Glow-Up anjuran EKSA SPS. Penyampaian anugerah ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap kecemerlangan, kreativiti serta semangat kerja berpasukan warga SPS.

Penganjuran majlis ini bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan, malah mencerminkan komitmen berterusan SPS dalam membina budaya kerja yang positif, profesional dan berprestasi tinggi demi kecemerlangan perkhidmatan universiti secara keseluruhan.

Tarikh Input: 19/12/2025 | Kemaskini: 26/02/2026 | aslamiah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
W, (01:52:04am-01:57:04am, 14 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]