Nanoselulosa Dihasil Daripada Biomas Sawit | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Nanoselulosa dihasil daripada biomas sawit

Nanoselulosa dihasil daripada biomas sawit

 Oleh Azman Zakaria

Foto: Marina Ismail

 

SERDANG - Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan nanoselulosa dari biomas sawit, yang mempunyai ciri setanding dengan nanselulosa yang dihasilkan di negara maju menggunakan bahan selulosa lain.

Nanoselulosa yang dihasilkan kumpulan penyelidik UPM itu bersaiz diameter purata 20 hingga 80 nanometer (nm).

Nanoselulosa yang mempunyai diameter berukuran 80 nm, saiznya adalah 1,000 kali ganda lebih kecil daripada sehelai rambut kerana sehelai rambut manusia dewasa berukuran kira-kira  80 mikrometer.

Nanoselulosa boleh dihasilkan daripada apa-apa bahan berasaskan selulosa seperti biomas tumbuhan, pulpa dan kertas serta kapas, namun kumpulan penyelidik UPM ini menggunakan selulosa yang diekstrak daripada biomas sawit.

Pensyarah, Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM, Prof. Madya Dr Hidayah Ariffin berkata, memandangkan Malaysia merupakan negara yang kaya dengan pokok kelapa sawit dan menghasilkan banyak biomas sawit, terdapat potensi untuk menghasilkan nanoselulosa daripada biomas sawit.

““Kami menggunakan selulosa yang diekstrak daripada biomas sawit Selulosa yang diekstrak daripada biomas kelapa sawit itu kemudian digunakan untuk menghasilkan nanoselulosa melalui kaedah pengisaran tertentu yang berjaya menghasilkan nanoselulosa yang mempunyai saiz diameter purata 20 hingga 80 nm,” katanya.

Prof. Madya Dr Hidayah yang juga ketua kumpulan penyelidik itu berkata, kaedah penghasilannya juga mudah dan cepat serta tidak membabitkan penggunaan bahan kimia.

Katanya, nanoselulosa adalah bahan yang versatil dan boleh dihasilkan sesuai dengan aplikasinya, dan secara semulajadi memiliki sifat yang istimewa seperti kuat daripada segi mekanikal, mempunyai luas permukaan spesifik yang tinggi, boleh diperbaharui serta boleh terurai secara bio (biodegradasi).

Sifat yang istimewa itu menjadikan nanoselulosa bahan yang sangat sesuai untuk diaplikasikan dalam pelbagai produk seperti produk biokomposit dan bahan pembungkus, katanya, sambal menjelaskan bahawa nanoselulosa berfungsi sebagai bahan untuk menguatkan produk, membran penapis bagi penapisan air, bahan penapis untuk topeng muka bahan pemekat dalam produk makanan, dan sebagai pembawa bahan aktif serta ubatan bagi produk kosmetik dan farmaseutikal.

Katanya, penyelidikan itu bermula pada 2013 dan dijalankan bersama penyelidik dari Jepun.

Produk itu memenangi Pingat Emas bagi Most Commercial Ready Product dan pingat perak bagi Most Innovative Product, pada Bioeconomy Innovation Award 2017.  – UPM

 

 

Tarikh Input: 19/12/2019 | Kemaskini: 19/12/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXDTRAJ~