KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech pada Rabu, 24 Februari , sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.
Penerimaan suntikan pertama bagi Malaysia itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.
Perdana Menteri menerima suntikan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, selepas menyempurnakan Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan fasa pertamanya bermula hari ini hingga April.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin tiba di PKD Putrajaya pada kira-kira jam 2.25 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera, yang akan menjadi aplikasi bagi satu daripada kaedah pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 selepas ini. Beliau kemudian membuat pendaftaran diri dengan petugas kesihatan bagi tujuan penerimaan vaksin sebelum dibawa ke auditorium bagi mendapatkan penerangan ringkas berkenaan vaksinasi. Muhyiddin kemudian menandatangani borang persetujuan sebagai dokumen pengisytiharaan diri dan kebenaran individu untuk divaksin.
Sebaik menerima suntikan, beliau dibawa ke ruangan khas, bagi menunggu selama kira-kira 15 hingga 30 minit untuk memantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain. Kemudian, beliau diiringi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, dibawa untuk mengambil temujanji untuk pengambilan dos kedua.
Turut menerima vaksin pada hari yang sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah diikuti anggota barisan lain iaitu kumpulan jurusuntik yang akan terbabit dalam program imunisasi selepas ini.
Sumber :
Tarikh Input: 26/02/2021 | Kemaskini: 13/04/2022 | aslamiah
Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang ,Selangor
(Academic)
03-9769 4225
(Admission)
03-9769 4218
(Thesis)
03-9769 4210
(Financial Aid)
03-9769 4138
(ICP)
03-9769 4203