
4 Ogos 2025 – Semangat patriotisme warga Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) Universiti Putra Malaysia (UPM) jelas terpancar apabila perkarangan bangunan SPS bergema dengan nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku, dalam majlis simbolik Kibar Jalur Gemilang pagi tadi. Majlis dimulakan dalam suasana penuh khidmat dengan semua staf dan pihak pengurusan berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku sebagai simbol kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air. Aktiviti simbolik ini menyaksikan penglibatan menyeluruh daripada seluruh warga SPS, termasuk barisan pengurusan, Prof. Dr. Zalilah Mohd Shariff, Dekan SPS, Prof. Dr. Rusmawati Said, Timbalan Dekan (Unit Tesis dan Pembangunan Pelajar), Prof. Dr. Nitty Hirawaty Kamarulzaman, Timbalan Dekan (Pengambilan, Bantuan Kewangan dan Perhubungan Institusi) dan Prof. Ts. Dr. Zuriati Zukarnain, Timbalan Dekan (Akademik dan Kurikulum). Sejurus selepas itu, suasana bertukar ceria dan bersemangat apabila rangkaian lagu-lagu patriotik yang lain mula diputarkan, membangkitkan aura sambutan Bulan Kebangsaan yang cukup bermakna.


Setiap staf yang hadir telah dibekalkan dengan bendera Jalur Gemilang sejak awal majlis. Sambil diiringi melodi patriotik yang menaikkan semangat, warga SPS bersama-sama mengibarkan bendera tersebut dengan penuh bangga, sekali gus membentuk satu pemandangan indah yang berwarna-warni di hadapan bangunan jabatan. Penglibatan aktif seluruh warga SPS ini bukan sahaja bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan bagi menyemarakkan sambutan merdeka, malah menjadi medium untuk merapatkan ukhuwah sesama rakan sekerja. Aktiviti ini membuktikan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan penjawat awam kekal utuh dalam usaha menyumbang bakti kepada universiti dan negara.
Tarikh Input: 04/08/2025 | Kemaskini: 14/01/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services