
3 Mac 2026 – Seminar Putra Sarjana bertajuk “Class 1: Scopus/WoS High Impact Journals with AI: Minimum 2 Papers with Hour-glass Theory” yang disampaikan oleh Dr. Thavamaran Kanesan, Pengasas dan Pengarah Proofreading by A UK PhD, telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian melalui Zoom semalam. Sesi ini telah memperkenalkan pelajar siswazah kepada strategi berkesan untuk menerbitkan artikel dalam jurnal berimpak tinggi yang diindeks oleh Scopus dan Web of Science (WoS). Para peserta turut didedahkan dengan teknik mengenal pasti jurnal yang bersesuaian, memahami jangkaan editor, serta menyusun manuskrip menggunakan Teori Hour-glass bagi memastikan penulisan yang jelas, tersusun dan mempunyai kedudukan penyelidikan yang kukuh.


Dr. Thavamaran juga menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan strategik dalam meningkatkan kualiti penulisan akademik, memperkukuh hujah serta memperkemas proses penerbitan. Sesi ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan keaslian, signifikan penyelidikan dan ketelitian metodologi dalam menghasilkan artikel ilmiah yang berkualiti, dengan sasaran sekurang-kurangnya dua penerbitan daripada satu projek penyelidikan. Seminar yang bersifat interaktif ini memberi ruang kepada peserta untuk bertanya soalan serta mendapatkan panduan dalam menangani cabaran lazim sepanjang proses penerbitan, termasuk ulasan penilai dan penambahbaikan manuskrip.
Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Universiti Putra Malaysia (UPM) komited dalam memperkasa pelajar siswazah dengan ilmu dan kemahiran penting bagi kecemerlangan penyelidikan dan penerbitan, selaras dengan aspirasi memperkukuh keterlihatan dan impak akademik di peringkat global. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada penceramah atas perkongsian yang amat bermanfaat. Terima kasih juga kepada semua peserta atas penyertaan dan komitmen yang diberikan.
Tarikh Input: 03/03/2026 | Kemaskini: 04/03/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services