14 Mei 2025 – Sekolah Pengajian Siswazah (SGS) telah menerima kunjungan rasmi bagi lawatan penandaarasan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) daripada delegasi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), di sini hari ini.

Lawatan yang bermula pada jam 10.00 pagi itu dihadiri oleh kira-kira 10 orang wakil daripada Pejabat TNC (JIM). Kehadiran delegasi ini disambut baik oleh pihak pengurusan SGS sebagai satu usaha murni dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang serta memantapkan jalinan kerjasama strategik antara jabatan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sesi perkongsian tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Pendaftar SGS, Puan Norhasliza Hassan, dengan dibantu oleh Fasilitator EKSA SGS, Cik Nur Nadiah Abd Rahim. Bertempat di Bilik Mesyuarat 1 (BM 1), majlis dimulakan dengan taklimat pengenalan yang membentangkan amalan terbaik EKSA yang sedang dilaksanakan di SGS, selain berkongsi impak positif ekosistem tersebut terhadap produktiviti kakitangan.
Delegasi seterusnya dibawa melawat ke sekitar bangunan SGS bagi melihat dengan lebih dekat inisiatif kreatif dan inovasi yang telah diimplementasikan. Sesi tinjauan lapangan ini memberi peluang kepada para pelawat untuk bertanya secara langsung mengenai teknik penyusunan, pelabelan, serta pengurusan ruang yang efektif bagi memenuhi kriteria EKSA.

Program berakhir pada jam 12.00 tengah hari selepas satu sesi maklum balas diadakan bagi membincangkan potensi penambahbaikan yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan. Lawatan ini diakhiri dengan sesi fotografi sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan antara kedua-dua pihak.
Tarikh Input: 14/05/2025 | Kemaskini: 13/01/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services