14 – 15 Januari 2025, Serdang – Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh apabila Muhammad Irfan Ibrahim, staf dari Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) dinobatkan sebagai juara kategori solo dalam pertandingan akhir Grand Finale Senada Putra Ke-16: Suara Putraku.


Persembahan bertenaga dan penuh emosi daripada Muhammad Irfan nyata memukau para juri dan penonton, sekali gus mengangkat beliau sebagai bintang utama dalam pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan warga SPS, malah turut menyerlahkan bakat luar biasa yang dimiliki oleh staf UPM dalam bidang kesenian dan kebudayaan.
Senada Putra merupakan program tahunan anjuran UPM yang menjadi platform utama dalam menggilap dan mengetengahkan bakat seni serta kreativiti dalam kalangan staf universiti dari pelbagai jabatan dan fakulti. Edisi ke-16 ini mengangkat tema "Suara Putraku" yang menekankan ekspresi melalui nyanyian sebagai medium penyatuan, terapi emosi, dan pengukuhan semangat kerja berpasukan di samping menyokong agenda kesejahteraan mental dan keseimbangan kerja-hidup dalam kalangan warga kerja UPM.
Grand Finale kali ini juga diserikan dengan kehadiran barisan panel juri profesional dan berpengaruh dalam industri muzik tanah air. Antaranya termasuklah Dato' Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, dan Sarah Ismail pada hari pertama pertandingan, manakala pada hari kedua pula, sesi penjurian dikendalikan oleh Encik Mohd Yazid Zakaria dan Rojer Kajol, dua figura yang cukup dikenali dalam dunia seni suara dan persembahan.
Tarikh Input: 22/01/2025 | Kemaskini: 16/04/2025 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services