UPM Jadi Tuan Rumah Pertandingan 3MT Peringkat Kebangsaan 2025 | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » UPM Jadi Tuan Rumah Pertandingan 3MT Peringkat Kebangsaan 2025

UPM Jadi Tuan Rumah Pertandingan 3MT Peringkat Kebangsaan 2025

Serdang, 19 Jun 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Three Minute Thesis (3MT) Peringkat Kebangsaan 2025, yang berlangsung dengan jayanya pada 19 Jun 2025 bertempat di Auditorium, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selaku co-host, dan diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

  

   

Pertandingan ini menghimpunkan pelajar siswazah dari pelbagai universiti awam dan swasta seluruh negara, termasuk:
UPM, USIM, UMT, UMPSA, MMU, UTP, UTHM, UTM, UUM, USM, UIA, UKM, UM, UniSZA, UniMAP, UiTM, UMS, UNITEN dan UPSI.

Terdapat dua kategori dipertandingkan, iaitu:
1. Kategori Sains Sosial
2. Kategori Sains, Kejuruteraan dan Teknikal

Pada sesi pagi, penganjuran dimulakan dengan peringkat saringan (heats) bagi kedua-dua kategori. Setiap peserta diberi masa hanya tiga minit untuk membentangkan penyelidikan mereka secara lisan menggunakan satu slaid sahaja, dengan tujuan menyampaikan isi penyelidikan secara padat, jelas dan mudah difahami oleh khalayak bukan pakar. Daripada keseluruhan peserta yang bersaing, hanya enam orang terbaik telah dipilih ke peringkat akhir (final) yang diadakan pada sesi petang. Mereka bersaing untuk merebut gelaran juara kebangsaan serta peluang mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Pertandingan 3MT ini bukan sahaja menguji kemahiran komunikasi penyelidikan yang efektif, tetapi juga membina keyakinan diri dan daya intelektual dalam kalangan pelajar siswazah. Ia turut menjadi platform penting dalam memupuk budaya penyelidikan yang inklusif, dinamik dan bersifat rentas disiplin.

UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Pertandingan Peringkat Kebangsaan 3MT 2025. Penghargaan khas ditujukan kepada barisan juri yang dihormati atas kesudian berkongsi kepakaran, semua peserta dan penyokong dari setiap universiti atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan, para tetamu kehormat yang sudi hadir memeriahkan majlis, serta barisan urus setia dari UPM dan USIM yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran sepanjang program berlangsung.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kami amat berbangga meraikan pencapaian cemerlang para penyelidik pascasiswazah berbakat yang telah menyerlah dalam Pertandingan 3MT Peringkat Kebangsaan 2025.

  

  

Kategori Sains Sosial

Tempat Pertama:
Byron MC Micheal Kadum
(Universiti Sains Malaysia)

Tempat Kedua:
Muhammad Nabiqul Hakim Azhar
(Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

Tempat Ketiga:
Muhammad Imran Razali
(Universiti Kebangsaan Malaysia)

 

  

Kategori Sains, Kejuruteraan & Teknologi

Tempat Pertama:
Nor Jumanah Said Mohamed
(Universiti Kebangsaan Malaysia)

Tempat Kedua:
Aliif Ihsaan Akmal Shukri
(Universiti Teknologi MARA)

Tempat Ketiga:
Muhammad Syarafuddin Abdul Shukor
(Universiti Teknologi MARA)

 

Kepada semua pemenang, keupayaan anda menyampaikan hasil penyelidikan bertahun-tahun dalam masa hanya tiga minit dengan jelas, penuh semangat dan keyakinan sememangnya amat menginspirasikan. Anda bukan sahaja telah mewakili institusi masing-masing dengan cemerlang, malah menjadi contoh unggul kepada para penyelidik masa hadapan. Pertandingan ini bukan sekadar satu persaingan, malah merupakan satu perayaan ilmu pengetahuan, kreativiti dan impak.

Sekalung tahniah sekali lagi! Semoga perjalanan penyelidikan anda terus gemilang dan memberi inspirasi kepada ramai lagi.

Tarikh Input: 20/06/2025 | Kemaskini: 13/01/2026 | aslamiah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
X, (03:32:09pm-03:37:09pm, 21 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]