Faktor utama kekurangan adaptasi teknologi ialah kekurangan maklumat mengenai prestasi tanaman perladangan (crop performance). kesesuaian teknologi dan integrasi antara teknologi yang telah dibangunkan untuk menyelesaikan masalah perladangan secara lebih efektif dan menyeluruh. Salah satu cabang penyelidikan utama dalam memahami prestasi tanaman ini adalah penyelidikan fenotip yang boleh menambahbaik sifat agronomik dan meningkatkan hasil tanaman perladangan. Proses "phenotyping” adalah penilaian menyeluruh terhadap ciri-ciri tumbuhan yang kompleks termasuklah tumbesaran, kedayatahanan, kedayarintangan, arkitektur, fisiologi, ekologi, hasil dan maklumat kuantitatif asas lain yang boleh menerangkan ciri-ciri kompleks ini. Dalam fokus penyelidikan fenotip tanaman perladangan ini, tumpuan akan diberikan terhadap dua peringkat yang utama iaitu di makmal dan di ladang. Di makmal, kaedah fenomik seperti kefungsian genomik, biotogi sistem dan filogenetik akan diaplikasikan. Manakala, di ladang teknologi rangkaian penderia tanpa wayar (wireless sensor network), pesawat tanpa pemandu (UAV), penderiaan jarak jauh dan dekat, robotik serta sistem pintar buatan (artificial intelligence) akan digunakan.
Dalam masa yang sama, tumpuan akan diberikan terhadap penyelidikan adaptasi teknologi bersepadu memandangkan kebanyakan teknologi perladangan yang sedia ada tidak mengambilberat keadaan fizikal perladangan dan status kesihatan tanaman yang menyukarkan adaptasi teknologi tersebut. Untuk memastikan penggunaan teknologi yang efektif, ciri yang ditekankan adalah waktu-nyata, tepat dan menjimatkan kos bersesuaian dengan keadaan fizikal ladang dan status kesihatan tanaman. Teknologi yang telah dibangunkan berasaskan penyelidikan fenotip seperti diagnostik molekul dan penderiaan jarak jauh dan dekat akan diinovasikan bersesuaian dengan keadaan fizikal perladangan dan situasi semasa tanaman seperti corak dan jarak penanaman dan topografi, atau status penyakit dan nutrisi.
Graduan bidang ini akan dapat mencebur diri dalam kerjaya sebagai pengurus ladang, penyelidik, pensyarah, ahli agronomi, perunding, dan pembuat dasar di organisasi kerajaan atau swasta. Kerjaya tersebut tidak terhad kepada dalam negara, malah mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Senarai Pakar
Prof. Madya Dr. Rimfiel Janius
Prof. Madya Dr. Siva Kumar Balasundram
Prof. Madya Dr. Siti Khairunniza bt. Bejo
Dr. Farrah Melissa Muharam
Dr. Muhamad Saufi Mohd Kassim
Dr. Nazmi Mat Nawi
Dr. Azree Shahrel Ahmad Nazri
Updated:: 08/03/2018 [azimin]

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services