
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor mengambil langkah tegas bagi membendung perbuatan membuang sampah kecil seperti puntung rokok dan plastik makanan di tempat awam, khususnya di kawasan tumpuan pelancong dan pengangkutan awam seperti JB Sentral. Menurut Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad, perbuatan ini walaupun kelihatan kecil boleh memberi kesan besar terhadap kebersihan bandar dan seterusnya mencalarkan imej negeri serta negara, terutama apabila melibatkan pelancong dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata demikian ketika pelaksanaan Operasi Gempur Kutu Sampah yang dijalankan bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran. Operasi ini turut melibatkan penguatkuasaan secara langsung terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab. Setakat awal tahun 2026, sebanyak 55 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan melibatkan warga tempatan, pelancong asing dan pekerja asing.
Zainal Fitri menegaskan bahawa Malaysia bukan tempat untuk sesiapa membuang sampah sesuka hati dan setiap individu perlu memikul tanggungjawab menjaga kebersihan awam. Sikap sambil lewa terhadap kebersihan boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Selain itu, SWCorp Johor turut menyediakan kertas pertuduhan terhadap dua warga asing yang akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007. Tindakan mahkamah ini menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu pembuangan sampah.
Beliau turut menyeru semua pengguna pengangkutan awam, pelancong dan masyarakat setempat agar bersama-sama memelihara kebersihan kawasan awam. Dengan kerjasama semua pihak, imej Johor dan Malaysia sebagai negara yang bersih, berdisiplin dan mesra pelancong dapat terus dipelihara.
Tarikh Input: 05/01/2026 | Kemaskini: 26/01/2026 | adibbaharudin

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services