Hari Malaysia - 16 September | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» ARTIKEL » Hari Malaysia - 16 September

Hari Malaysia - 16 September

 

Sambutan Hari Malaysia 2020 seluruh negara sempena pembentukan Malaysia tetap disambut meriah, walaupun negara berdepan dengan situasi penularan koronavirus (Covid-19) sejak hujung tahun lalu.

Walaupun pergerakan terbatas kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun semangat cintakan tanah air tetap terserlah dalam normal baharu.

Tanpa sambutan rasmi di sesetengah negeri seperti tahun-tahun sebelumnya, pelbagai pihak mengambil inisiatif sendiri untuk menyemarakkan sambutan tersebut secara kecil-kecilan.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Ismail mengambil peluang beramah mesra menerusi persidangan video dengan petugas barisan hadapan dari sekitar Pekan iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah, hospital, balai bomba dan Kem Rejimen 505 Sungai Miang.

Sambutan peringkat negeri itu juga diserikan, dengan persembahan pentomin bertemakan perjuangan menentang wabak Covid-19 dan nyanyian termasuk oleh ahli bomba Syafiq Farhain, dan anggota pasukan beruniform, yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) semalam.

Di SABAH, Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sambutan Hari Malaysia cukup penting khususnya kepada rakyat Sabah mengimbau sejarah pembentukan Malaysia pada setiap 16 September. Beliau berkata, tarikh itu merupakan titik permulaan bagi Sabah dan Sarawak bebas daripada belenggu penjajah. “Itulah pengorbanan yang dicurahkan oleh pejuang-pejuang terdahulu, apabila Sabah pernah ditakluki sebahagiannya oleh Jepun, sebelum mencapai kemerdekaan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini. Turut berangkat Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Di PERAK, walaupun tiada sambutan rasmi dianjurkan kerajaan negeri, namun di daerah Perak Tengah, seramai 35 orang menyertai Konvoi Pelancongan Warisan Daerah Perak Tengah dengan bermotosikal, anjuran Institut Agro Usahawan (iGROW) dan pelajar Pusat Latihan Kemahiran iGROW. Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi Dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed, melibatkan konvoi sejauh 30 kilometer di beberapa kawasan tumpuan di Perak Tengah seperti Makam Sultan Muzaffar Shah 1 dan Mini Galeri Nasaruddin Rais, bertujuan memperkenalkan tempat warisan yang ada di daerah tersebut.

Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menyambut Hari Malaysia dengan mengadakan program pertandingan Lorong Ceria Merdeka dan Rumah Ceria Merdeka, selain slot ceramah kemerdekaan. Ia diadakan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Warisan Puteri dengan menarik kehadiran kira-kira 100 orang penduduk kawasan itu, selain mengumumkan pemenang pertandingan berkenaan yang diadakan sejak 12 Ogos.

Di PULAU PINANG pula, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pulau Pinang menganjurkan Program Voluntourism, Malaysia Bersih Indah di Taman Negara Teluk Bahang. Selain itu, Pejabat Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, menganjurkan program ‘Konvoi Lautan Merah Hari Malaysia’ yang menyampaikan sumbangan kepada veteran badan beruniform, yang pernah berbakti kepada negara.

Di KELANTAN, lebih 200 peserta menyertai Kayuhan Merdeka Fun Ride 2020 yang turut disertai Pengerusi UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub di Machang. Kesemua mereka berkayuh sejauh 25 kilometer di sekitar jajahan itu dan berakhir di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu.

Di TERENGGANU, Jabatan Pelancongan Negeri mengambil inisiatif mengadakan sambutan di lokasi pelancongan terbaru negeri, Kampung Budaya Terengganu, Kuala Terengganu. Selain penceritaan pembentukan Malaysia oleh Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Che Muhamad Azmi Ngah, sambutan diserikan dengan beberapa acara seperti deklamasi puisi patriotik dan persembahan nyanyian lagu-lagu patriotik. - Bernama

 

 

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/101348/KHAS/Cerita-Merdeka/Sambutan-Hari-Malaysia-2020-meriah-dalam-normal-baharu

Tarikh Input: 30/09/2020 | Kemaskini: 30/09/2020 | aslamiah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXETIAf~