Sebaik saja melangkah keluar dari menara gading sebagai graduan cemerlang UPM tidak bermakna jalinan perhubungan anda bersama komuniti di sini terhenti begitu sahaja. Bekas graduan UPM dialu-alukan untuk menyertai Persatuan Alumni UPM, yang mana ditubuhkan khas untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim serta jaringan bermanfaat dari pelbagai bidang kepakaran. Malah, ramai di antara ahli Alumni UPM telah diangkat sebagai duta di atas sumbangan besar mereka di dalam bidang masing-masing, sehingga meninggalkan impak yang besar kepada masyarakat dan negara - sekaligus mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa.
Sejak tahun 1971, penyertaan Alumni UPM telah mencapai lebih 145,000 orang – bukan sahaja dari Malaysia, tetapi dari seantero dunia yang meliputi Australia, Iran, Perancis, Myanmar dan Arab Saudi. Berbekalkan hasrat untuk mengeratkan ukhwah sesama bekas komuniti universiti yang disegani, Alumni UPM sehingga kini telah berjaya berkongsi idea-idea hebat serta menyuarakan pandangan kritis demi pembangunan universiti yang dinamik dalam merealisasikan segala visi dan misinya.
Bagi yang berminat untuk mengetahui maklumat terperinci mengenai Persatuan Alumni UPM, boleh layari Laman Web Rasmi Pusat Alumni dan Persatuan Alumni pada bila-bila masa.
Pusat Alumni telah menerima kunjungan hormat dari Pejabat Alumni, Institut Pengajian Tinggi Malaysia dan Luar Negara setiap tahun. Kira-kira 2-3 kunjungan yang diterima datang dari Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia, Pejabat Perhubungan Alumni Universiti Teknologi Mara, Institut Pertanian Bogor, Indonesia dan banyak lagi.
Alumni membantu dalam menjalinkan hubungan bersama dengan pihak industri, rakan universiti, organisasi tempatan dan antarabangsa. Kesemua pihak ini mesti mempunyai minat untuk berkolaborasi dengan UPM bagi tujuan akademik, penyelidikan dan komersial sejajar dengan Pelan Strategik UPM. Justeru, Pusat Alumni selaku sekretariat bagi Yayasan Pak Rashid (YPR), mengurus dan menyelaras biasiswa pelajar dan turut menganugerahi pingat emas dan hadiah iaitu “Pingat Emas Yayasan Pak Rashid” kepada pelajar cemerlang. YPR turut menyediakan pinjaman kewangan kepada pelajar yang memerlukan bantuan kewangan jangka pendek bagi membiayai kos pengajian mereka. Pusat Alumni juga turut mengurus dan menyelaras Biasiswa Soh Kim Mee khususnya kepada pelajar Diploma dan Sarjana Muda dalam bidang Pertanian.
Sekolah Pengajian Siswazah (SGS) adalah sebuah pusat pentadbiran dan sistem sokongan yang membantu memudahkan dan meningkatkan pengalaman pelajar lepasan ijazah UPM, dan juga memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan antara UPM dan para graduannya.
Layari pautan berikut untuk mengetahui tentang SGS dengan lebih lanjut.
UPM mempunyai 7,968 warga kerja yang berdedikasi dan berdaya saing dalam bidang masing-masing. Daripada jumlah itu, seramai 1,773 warga kerja UPM terdiri daripada Staf Akademik termasuk Tenaga Adjung, Kursi, Pasca Doktoral, Sarjana Tamu, Pengajar Khas dan Felo Perunding. Manakala 1,649 warga kerja UPM adalah Staf Bukan Akademik iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta 4,546 warga kerja adalah terdiri daripada Kumpulan Sokongan.