18 Ogos 2026 - 11th University Consortium (UC) Graduate Forum yang dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan tema “Building Research Capacity for Food Security: Innovating Solutions for Sustainable Systems” atau “Membina Keupayaan Penyelidikan untuk Jaminan Makanan: Meneroka Penyelesaian Inovatif ke arah Sistem yang Mampan” telah berlangsung secara rasmi pada 18 Ogos 2026. Forum yang berlangsung selama dua hari ini menghimpunkan lebih daripada 50 orang pegawai, pelajar siswazah dan tetamu daripada 13 institusi ahli UC. Penganjuran forum ini menyediakan platform kepada peserta untuk berkongsi pengetahuan, hasil penyelidikan, idea inovatif serta pengalaman akademik dalam suasana yang terbuka dan kolaboratif.


UC Graduate Forum menampilkan enam sesi selari yang membentangkan hasil penyelidikan berkaitan jaminan makanan. Sesi-sesi tersebut merangkumi Penyelidikan Inovatif untuk Jaminan Makanan Mampan (Sesi 1), Dasar dan Tadbir Urus dalam Penyelidikan Jaminan Makanan (Sesi 2), Pendayagunaan Teknologi dalam Penyelidikan Jaminan Makanan (Sesi 3), Pendekatan Rentas Disiplin terhadap Jaminan Makanan (Sesi 4), Menghubungkan Penyelidikan dengan Tindakan Komuniti untuk Jaminan Makanan (Sesi 5) serta Pemakanan, Keselamatan Makanan dan Kesihatan Awam untuk Jaminan Makanan Masa Hadapan (Sesi 6).
Selain sesi akademik, para peserta turut berpeluang menyertai lawatan ke Farm Fresh dan Muzium Anatomi Haiwan UPM sebagai sebahagian daripada pengisian forum.
Majlis perasmian forum dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Dr. Zalilah Mohd Shariff, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah UPM, dan Dr. Mercedita Sombilla, Pengarah Pusat SEARCA. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian ucaptama oleh YBhg. Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang bertajuk “Memberikan Impak kepada Pertanian dan Jaminan Makanan: Perjalanan Transformatif daripada Pelajar Siswazah kepada Pakar Bidang.”
UC Graduate Forum merupakan acara tahunan yang menyediakan platform kepada pelajar siswazah daripada institusi ahli UC untuk bertukar pengetahuan, hasil penyelidikan, idea inovatif dan pengalaman akademik dalam persekitaran yang terbuka serta kolaboratif. Forum ini turut menggalakkan penyelidikan rentas disiplin, memperkukuh kerjasama antara institusi serta memupuk integrasi yang lebih erat dalam usaha penyelidikan antara ahli UC.
Pada tahun ini, forum tersebut menghimpunkan 37 orang pelajar siswazah daripada 13 universiti ahli UC. Penganjuran forum ini bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan dalam kalangan institusi ahli, malah membuka ruang kepada pelajar siswazah untuk berkongsi idea, membina jaringan profesional serta meneroka peluang kerjasama penyelidikan dalam menangani cabaran berkaitan jaminan makanan dan pembangunan sistem makanan yang mampan.
Tarikh Input: 19/08/2026 | Kemaskini: 21/08/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services