Kempen Kitar Semula Plastik Terpakai | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Kempen Kitar Semula Plastik Terpakai

Kempen Kitar Semula Plastik Terpakai

6–10 Januari 2025, Serdang – Selaras dengan usaha memperkukuh amalan kelestarian dan menyokong inisiatif kampus hijau, Jawatankuasa Pelaksana EKSA Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kempen pengumpulan plastik terpakai selama lima hari bermula dari 6 hingga 10 Januari 2025. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha menyokong dan menyertai Kempen Plastik kepada Tekstil anjuran Seksyen Kelestarian dan Kampus Hijau, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Latihan dan Kraftangan Epal (Pusat Epal).

    

Kempen Plastik kepada Tekstil ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan mengurangkan sisa plastik serta menggalakkan amalan kitar semula secara kreatif. Plastik terpakai yang dikumpul akan diproses dan ditukar menjadi produk tekstil seperti beg, alas meja, dan bahan kraftangan yang lebih mesra alam dan mempunyai nilai guna semula.

Di peringkat SPS, kutipan telah diadakan di beberapa lokasi strategik di sekitar bangunan sekolah bagi memudahkan staf dan pelajar menyumbang bahan plastik terpakai seperti pembalut makanan, bungkusan plastik, dan plastik pembalut botol. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, membuktikan bahawa kesedaran terhadap kelestarian alam semakin meningkat dalam kalangan warga SPS.

Plastik yang berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh kempen telah diserahkan ke lokasi pengumpulan utama di Dewan Besar PKKSSAAS, UPM menjelang tarikh penyerahan rasmi pada 13 Januari 2025. Penyerahan ini bukan sahaja menandakan komitmen SPS terhadap agenda hijau UPM, malah memperlihatkan kerjasama erat antara pelbagai entiti universiti dalam menjayakan inisiatif kelestarian secara holistik.

Secara keseluruhannya, usaha ini membuktikan bahawa tindakan kecil seperti mengasing dan mengumpulkan plastik terpakai mampu memberi impak besar dalam pemeliharaan alam sekitar. SPS berhasrat untuk terus menyokong program-program seumpama ini dalam memastikan budaya hijau terus subur di kampus UPM.

Tarikh Input: 12/01/2025 | Kemaskini: 16/04/2025 | aslamiah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
S, (05:24:35am-05:29:35am, 04 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]