Kursus Pembuatan Kokedama | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Kursus Pembuatan Kokedama

Kursus Pembuatan Kokedama

23 Januari 2025 - Berbekalkan bahan-bahan mudah diperoleh, seperti lumut kering, sabut kelapa, dan kompos, pokok hiasan yang biasanya ditanam di dalam pasu kini boleh tampil lebih menarik dengan menggunakan teknik kokedama atau seni tanaman tanpa pasu sebesar saiz bola mini dan boleh digenggam dengan sebelah tangan. Kokedama adalah seni bonsai dari Jepun, dibuat menyerupai bola dan diselaputi dengan lumut lalu diikat bagi menggantikan penggunaan pasu.

Satu kursus khas pembuatan kokedama telah diadakan di SPS dengan bimbingan daripada Puan Mahani Amat@Halimi, Pegawai Pertanian Kanan (Pengembangan), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) sebagai tenaga pengajar. Kursus yang berlangsung di sekitar bangunan SPS itu memberi pengalaman dan ilmu baharu kepada semua staf SPS.

  

Antara kelebihan kokedama adalah :

1. Meningkatkan Estetika dan Keceriaan Ruang
Kokedama mampu mencantikkan suasana sesuatu ruang dengan sentuhan semula jadi yang unik. Ia sesuai dijadikan elemen dekoratif di rumah, pejabat, bilik bacaan, mahupun ruang rehat.

2. Menyumbang kepada Kesejahteraan Emosi dan Kesihatan Mental
Aktiviti membuat dan menjaga kokedama dapat memberikan kesan terapeutik yang menenangkan. Ia dapat mengurangkan tekanan, meningkatkan fokus, serta memberi rasa kepuasan kepada individu.

3. Mudah Dijaga dan Mesra Pengguna
Berbanding tanaman hiasan lain, kokedama tidak memerlukan penjagaan yang rumit. Proses penyiraman boleh dilakukan melalui rendaman, dan ia tidak memerlukan ruang yang besar untuk diletakkan.

Secara keseluruhan, kokedama bukan sahaja merupakan elemen hiasan yang indah, malah membawa nilai tambah dari aspek psikologi, sosial, dan kelestarian alam. Ia wajar dipromosikan sebagai salah satu aktiviti gaya hidup lestari yang menyokong kesejahteraan diri dan persekitaran.

 

Tarikh Input: 22/01/2025 | Kemaskini: 16/04/2025 | aslamiah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
F, (10:14:42pm-10:19:42pm, 27 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]