
SERDANG, 15 Jun – Seramai 35 orang staf Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya sebagai usaha memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang cemerlang dalam kalangan warga SPS.
Lawatan yang bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 tengah hari itu bertujuan untuk membuat penanda arasan terhadap amalan terbaik pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di SPRM, di samping memberi pendedahan serta memantapkan penghayatan nilai-nilai integriti dalam kalangan staf.


Sepanjang lawatan, peserta telah mengikuti sesi penerangan mengenai fungsi dan peranan SPRM, ceramah berkaitan integriti serta pencegahan rasuah, selain diberi peluang meninjau kemudahan dan operasi di ibu pejabat SPRM. Perkongsian yang disampaikan telah memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai kepentingan membudayakan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan tugas seharian.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan SPS dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti dan meningkatkan kesedaran warga organisasi terhadap kepentingan tadbir urus yang telus, beretika dan bebas daripada amalan rasuah. Di samping menghayati nilai-nilai integriti, lawatan ini turut membuka ruang kepada SPS untuk meneliti dan mengadaptasi amalan terbaik pelaksanaan EKSA yang bersesuaian bagi meningkatkan kualiti persekitaran kerja dan penyampaian perkhidmatan. Diharapkan ilmu serta amalan terbaik yang diperoleh melalui lawatan ini dapat dimanfaatkan dalam usaha mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan memperkukuh kecemerlangan organisasi.
Tarikh Input: 18/06/2026 | Kemaskini: 24/07/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services