
3 Julai 2026 – Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program Lestari Herba pada 3 Julai 2026 bermula jam 9.00 pagi, bertempat di kawasan tanah kecil di belakang bangunan SPS, Zon Topaz (EKSA). Program ini merupakan salah satu inisiatif hijau yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar serta menggalakkan amalan hijau dalam kalangan warga kerja SPS.
Program ini melibatkan penyertaan aktif semua staf SPS yang bersama-sama menjayakan aktiviti penanaman pelbagai jenis pokok herba. Antara tanaman yang ditanam hasil sumbangan staf termasuklah serai, daun kesum, pokok pandan, daun kunyit, halia dan pelbagai lagi jenis herba tempatan yang mempunyai nilai kegunaan dalam kehidupan harian.


Selain aktiviti penanaman, para peserta turut terlibat dalam usaha melabel tanaman herba baharu serta tanaman sedia ada bagi memudahkan pengenalpastian dan tujuan pembelajaran. Inisiatif ini bukan sahaja memperindah kawasan persekitaran SPS, malah berfungsi sebagai ruang rujukan dan pembelajaran tidak formal berkaitan tanaman herba.
Pelaksanaan program ini juga selari dengan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang menitikberatkan aspek persekitaran kerja yang bersih, hijau dan kondusif. Melalui penglibatan menyeluruh staf, program ini berjaya mewujudkan semangat kerjasama, tanggungjawab bersama serta kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
Secara keseluruhannya, program Lestari Herba ini bukan sahaja menyumbang kepada penghijauan kawasan SPS, malah memperkukuh budaya kerja lestari dalam kalangan warga SPS. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan sebagai usaha berterusan ke arah mewujudkan persekitaran kampus yang lebih hijau, sihat dan mampan.
Tarikh Input: 06/07/2026 | Kemaskini: 24/07/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services