Serdang, 28 November 2025 — Menjelang Majlis Konvokesyen Ke-49, Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia, kini giat melaksanakan persiapan akhir bagi memastikan kelancaran perjalanan majlis yang bakal berlangsung bermula 29 November hingga 5 Disember 2025. Selepas selesainya proses pengambilan jubah oleh para graduan, warga kerja Sekolah Pengajian Siswazah kini bertungkus lumus menyelaras pelbagai aspek persediaan bagi menyambut dan mengiringi graduan sepanjang tempoh konvokesyen. Persiapan yang dijalankan merangkumi penyelarasan jadual kehadiran graduan, pengurusan dokumen, semakan senarai penerima ijazah, penyediaan laluan pergerakan graduan, serta penyelarasan tugasan petugas yang terlibat secara langsung sepanjang majlis berlangsung.


Selain itu, taklimat dalaman turut dilaksanakan bagi memastikan semua petugas memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, di samping memastikan prosedur operasi standard dipatuhi sepenuhnya. Langkah ini penting bagi menjamin pengurusan graduan berjalan dengan teratur, cekap dan profesional, selaras dengan standard penganjuran majlis rasmi universiti. Sekolah Pengajian Siswazah juga memberi penekanan terhadap aspek layanan mesra graduan dan waris, termasuk penyediaan maklumat yang jelas serta bantuan sepanjang majlis berlangsung. Usaha bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan warga SPS dalam memastikan pengalaman konvokesyen yang lancar, bermakna dan membanggakan buat semua graduan.

Majlis Konvokesyen Ke-49 UPM merupakan detik bersejarah bagi para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Dengan persiapan rapi yang sedang dilaksanakan, seluruh warga Sekolah Pengajian Siswazah berharap agar majlis konvokesyen tahun ini dapat berlangsung dengan jayanya serta meninggalkan kenangan manis kepada semua graduan dan tetamu yang hadir.
Tarikh Input: 28/11/2025 | Kemaskini: 26/02/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services