Serdang, 11 November 2025 — Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia, telah mengadakan sesi penjurian pertandingan ruang guna sama bagi dua zon EKSA SPS, iaitu Zon Topaz dan Zon Emerald. Sesi penjurian berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, bertujuan memperkukuh amalan persekitaran kerja berkualiti, tersusun dan kondusif selaras dengan pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).


Zon Topaz

Zon Emerald
Sebelum lawatan ke kawasan dinilai dimulakan, satu sesi pembentangan telah berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, Sekolah Pengajian Siswazah. Pembentangan disampaikan oleh Ketua Zon Topaz dan Ketua Zon Emerald yang menghuraikan konsep ruang guna sama yang dirancang bagi zon masing-masing. Antara perkara yang dibentangkan termasuk idea dan perancangan konsep, kos pelaksanaan yang terlibat serta garis masa projek bermula daripada peringkat perancangan hingga pelaksanaan. Sesi ini memberikan gambaran menyeluruh kepada juri mengenai pendekatan strategik setiap zon sebelum proses penilaian fizikal dijalankan.
Sesi penjurian telah dikendalikan oleh Puan Nik Hafzaini Nik Hassan, Ketua Seksyen Kemasukan Antarabangsa, Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir Akademik UPM. Sepanjang proses penilaian, juri meneliti pelbagai kriteria penting termasuk susun atur ruang, pematuhan standard EKSA, kreativiti dan inovasi ruang, pelabelan sistematik, serta tahap kebersihan dan keselamatan persekitaran kerja.
Juri telah diiringi oleh Puan Norhasliza Hassan, Penolong Pendaftar Sekolah Pengajian Siswazah, Puan Nadiah selaku Penyelaras EKSA SPS, serta ahli Jawatankuasa EKSA SPS sepanjang sesi berlangsung. Kehadiran barisan pengurusan dan jawatankuasa terlibat mencerminkan komitmen berterusan SPS dalam memastikan pelaksanaan EKSA dilaksanakan secara konsisten dan berimpak tinggi. Pertandingan ini bertujuan menggalakkan budaya kerja berkualiti melalui penyusunan ruang yang lebih sistematik, efisien dan mesra pengguna, di samping memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga SPS. Melalui penganjuran pertandingan ruang guna sama ini, Sekolah Pengajian Siswazah UPM terus memperkukuh komitmen dalam membudayakan persekitaran kerja yang profesional, kondusif dan berorientasikan kecemerlangan perkhidmatan selaras dengan aspirasi universiti.
Tarikh Input: 13/11/2025 | Kemaskini: 27/02/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services