Rain To Resource: Projek Penuaian Air Hujan Memperkukuh Inisiatif Kelestarian Hijau Di SGS | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Rain to Resource: Projek Penuaian Air Hujan Memperkukuh Inisiatif Kelestarian Hijau di SGS

Rain to Resource: Projek Penuaian Air Hujan Memperkukuh Inisiatif Kelestarian Hijau di SGS

15 Julai 2026 – Sekolah Pengajian Siswazah (SGS), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar melalui pengukuhan projek “Rain to Resource: Rainwater Harvesting Project”, satu inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2023 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ke arah kelestarian hijau di peringkat sekolah. Projek ini menyokong amalan penjimatan air melalui pengumpulan dan penggunaan semula air hujan di dalam kawasan SGS.

Program ini telah dirasmikan dan dihadiri oleh Timbalan Dekan Kemasukan, Hubungan Institusi dan Bantuan Kewangan, Prof. Dr. Nitty Hirawaty Kamarulzaman, yang mencerminkan sokongan dan komitmen padu pihak pengurusan SGS terhadap inisiatif kelestarian hijau. Program ini merangkumi sesi taklimat mengenai fungsi sistem penuaian air hujan serta sesi perkongsian berkaitan penjimatan air dan amalan kelestarian hijau yang disampaikan oleh Penolong Jurutera SGS, Encik Izzat Rabani Mazli. Seterusnya, sesi lawatan sekitar kawasan sistem penuaian air hujan turut diadakan bagi meninjau komponen operasi projek, termasuk tangki simpanan dan pam air berkuasa solar yang dipasang di dalam kawasan SGS.

  

Melalui inisiatif ini, air hujan yang dikumpulkan daripada bumbung bangunan digunakan semula untuk tujuan penyelenggaraan landskap seperti penyiraman tanaman, pembersihan kawasan, dan penjagaan kehijauan sekitar SGS. Selain itu, projek ini turut mengintegrasikan penggunaan panel solar untuk menjana tenaga elektrik bagi sistem pam air, sekali gus menyumbang kepada penjimatan tenaga elektrik dan mengurangkan penggunaan tenaga semasa aktiviti penyiraman. Pemeriksaan dan kerja penyelenggaraan berkala juga dilaksanakan bagi memastikan kelestarian dan keberkesanan sistem, termasuk pemeriksaan tangki, pembersihan penapis, serta kerja-kerja penyelenggaraan sistem.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan SGS terhadap amalan kampus lestari, pemeliharaan alam sekitar, serta pemerkasaan kesedaran hijau dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 7 (Tenaga Mampu Milik dan Bersih), dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab).

Tarikh Input: 18/05/2026 | Kemaskini: 25/05/2026 | aslamiah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
X, (04:32:46pm-04:37:46pm, 21 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]