23 Julai 2025 – Sekolah Pengajian Siswazah dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan satu lagi sesi bermakna di bawah Siri Seminar Putra Sarjana pada 23 Julai 2025. Seminar bertajuk "How to Win the Problem Statement in Qualitative Research" itu telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arsyad dari Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, dan berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom Meeting.


Sesi ini bertujuan untuk memperkasa pelajar pascasiswazah dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang pembinaan penyataan masalah yang kukuh dan meyakinkan dalam penyelidikan kualitatif. Objektif seminar ini adalah untuk meningkatkan pemahaman peserta mengenai peranan dan kepentingan penyataan masalah dalam penyelidikan kualitatif, membimbing pelajar dalam mengenal pasti jurang kajian serta merangka penyataan masalah yang jelas, fokus dan boleh dikaji. Seminar ini juga bertujuan untuk memberikan strategi praktikal dalam menyelaraskan penyataan masalah dengan soalan penyelidikan, objektif kajian serta kerangka teori. Di samping itu, ia turut membantu peserta mengukuhkan kemahiran berfikir secara kritis dan penulisan akademik dalam membina asas penyelidikan kualitatif yang berimpak tinggi.
Seminar ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar pascasiswazah pelbagai fakulti, sekali gus mencerminkan semangat dan kesungguhan mereka untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang penyelidikan dan komunikasi akademik. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UPM dalam memperkasa komuniti siswazah melalui program Putra Sarjana.
Tarikh Input: 24/07/2025 | Kemaskini: 24/07/2025 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services