
Serdang, 11 Februari 2026 – Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan SGS-Faculty Engagement Programme (Series 1/2026) pada 11 Februari 2026 (Rabu) dengan penyertaan lebih 80 orang pegawai yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pengajian siswazah di Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang ini dianjurkan dengan tiga objektif utama iaitu; meningkatkan kefahaman pegawai dan pelaksana yang menjalankan tugas berkaitan skop siswazah di PTJ agar maklumat yang tepat dapat disampaikan di peringkat PTJ masing-masing, menyediakan platform untuk membina jaringan profesional (networking) di samping berkongsi amalan terbaik antara PTJ, dan memberi peluang kepada pegawai SPS untuk mendapatkan maklum balas dan input daripada PTJ bagi tujuan penambahbaikan proses pengurusan siswazah.


Sesi pagi yang diadakan di Mini Auditorium 1, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) memfokuskan kepada Taklimat Proses Pengurusan Skop Pengajian Siswazah di UPM. Manakala sesi petang diteruskan dengan Sesi Konsultasi/Soal Jawab Bersama Pegawai Siswazah SPS di Bilik Smart Classroom, Dewan Kuliah Akademik Pusat (DKAP). Sesi ini memberi ruang kepada peserta untuk mengemukakan pertanyaan, membincangkan isu-isu berbangkit serta mendapatkan penjelasan secara terus daripada pegawai SPS.


Pegawai daripada UPM Sarawak dan I-AQUAS UPM Port Dickson, Negeri Sembilan juga terlibat secara dalam talian bagi memastikan penyertaan yang inklusif. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan SPS dalam memperkasakan tadbir urus pengajian siswazah serta memperkukuh kerjasama strategik antara SPS dan PTJ dalam memastikan pengurusan akademik yang lebih cekap, sistematik dan berimpak tinggi di UPM.
Tarikh Input: 11/02/2026 | Kemaskini: 25/02/2026 | aslamiah

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor
Contact List by Unit
Staff and Services