Tarbiah Ramadan: Membina Diri, Memperkukuh Integriti | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Tarbiah Ramadan: Membina Diri, Memperkukuh Integriti

Tarbiah Ramadan: Membina Diri, Memperkukuh Integriti

24 Mac 2025, Serdang Bersempena dengan bulan Ramadan 1446H yang penuh keberkatan dan keinsafan, Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Kelab SPS, dengan kerjasama erat daripada Kelab Kebajikan Warga i-PUTRA serta Kelab Kebajikan & Sosial Pejabat Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa, telah menganjurkan Ceramah Tarbiah Ramadan: Membina Diri, Memperkukuh Integriti.

Majlis ilmu yang penuh pengisian ini telah berlangsung pada hari Isnin, 24 Mac 2025 bersamaan 23 Ramadan 1446H, bertempat di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan, UPM. Program ini menampilkan penceramah jemputan terkenal, Ustaz Syamsul Amri bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, yang sentiasa dinanti-nantikan oleh warga kampus kerana gaya penyampaian beliau yang bersahaja, penuh hikmah dan sarat dengan mesej-mesej bermakna.

  

 

Ceramah yang bertemakan pembangunan sahsiah dan nilai integriti dalam diri ini bertujuan menyuntik semangat dan kesedaran kepada warga kampus khususnya dalam menjalani ibadah puasa serta memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dan tugasan profesional. Program ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga UPM merentas pelbagai jabatan dan fakulti. Kehadiran yang memberangsangkan mencerminkan semangat keilmuan dan kekitaan dalam kalangan staf dan pelajar universiti, sejajar dengan matlamat UPM dalam membudayakan nilai integriti dan spiritualiti dalam ekosistem kerja dan pembelajaran.

Semoga ceramah yang penuh dengan nasihat dan motivasi ini bukan sahaja memberi manfaat sepanjang bulan Ramadan, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan peribadi unggul dan berintegriti dalam kalangan seluruh warga kampus.

Tarikh Input: 24/03/2025 | Kemaskini: 17/04/2025 | aslamiah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
F, (07:04:18pm-07:09:18pm, 28 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]